PUTRAJAYA – Seorang bekas DSP mendapat semula jawatannya hari ini selepas dipecat empat tahun lalu atas tuduhan salah laku, setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan untuk kebenaran merayu berhubung pengembalian jawatan itu.

Abdul Ghani Che Mat, 58, dipecat dari pasukan polis pada 2013 kerana dituduh membenarkan teman wanitanya memiliki ‘thumb drive’nya yang mengandungi maklumat sulit dan mengadakan hubungan dengannya antara 2008 dan 2009.

Beliau memfail permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pemecatannya itu, yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Abdul Ghani kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan mahkamah itu membenarkan jawatannya dikembalikan berserta pangkat dan emolumen dibayar kepadanya.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, Suruhanjaya Polis, pengerusinya dan Ketua Polis Negara ketika itu, Kerajaan dan dua yang lain memohon kebenaran bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding hari ini, Mahkamah Persekutuan yang disidangi tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan Kerajaan dan lima yang lain untuk kebenaran merayu.

Hakim G. Subramaniam Nair, mewakili Abdul Ghani sementara Peguam Kanan Persekutuan Maisara Juhari bertindak bagi pihak kerajaan. – MalaysiaGazette