Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menafikan ada mengeluarkan kenyataan mengenai Garis Panduan Manual Selangor dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor berhubung kelulusan tempat-tempat ibadat bukan Islam kepada portal Berita Daily.

Mengakui terkejut dengan kenyataan balas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh terhadap kenyataan palsu tersebut, Ka Siong menegaskan beliau tidak dihubungi oleh mana-mana media kerana berada di luar negara ketika isu itu dibangkitkan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa Hannah mengutuk saya atas kenyataan yang kononnya dibuat oleh saya mengenai isu ini.

“Saya menegaskan, saya tidak membuat apa-apa ulasan untuk mana-mana penerbitan atau portal.

“Saya terus menghubungi Hannah serta-merta dan beliau menyatakan kenyataannya itu dibuat berdasarkan kepada artikel berita dalam talian oleh Berita Daily,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ka Siong telah menghubungi editor portal Berita Daily dan pihaknya mengakui telah melakukan kesilapan dan telah menerbitkan notis pembetulan terhadap laporan berkenaan.

“Ini benar-benar sesuatu yang tidak baik apabila saya dilihat membuat kenyataan yang tidak pernah saya buat.

“Saya berharap portal berita lain yang menyiarkan berita yang sama turut  akan membuat pembetulan dan menggesa semua pihak media menyemak fakta dan sumber mereka sebelum membuat apa-apa laporan terhadap kenyataan palsu,” katanya. – Malaysia Gazette.