Kim Jong-un

PYONGYANG – Media rasmi Korea Utara memberi amaran tentang serangan nuklear ke atas Amerika Syarikat jika tanda-tanda berlaku pencerobohan oleh kumpulan penyerang Tentera Laut Amerika Syarikat yang kini menghala ke barat Pasifik.

Presiden Donald Trump sebelum ini menggesa China mengekang Korea Utara yang didakwa mencari masalah.

Amerika Syarikat, katanya akan mencari jalan menyelesaikan masalah dengan atau tanpa bantuan Beijing.

Ketegangan telah meningkat secara mendadak di Semenanjung Korea di tengah-tengah kebimbangan Korea Utara akan melancarkan ujian nuklear keenam.

Hujung minggu lalu Washington telah mengarahkan kumpulan penyerang tentera laut yang dikenali Carl Vinson yang terdiri daripada pesawat dan kapal perang ke arah Semenanjung Korea.

“Kita sedang menghantar armada yang sangat kuat. Kita mempunyai kapal selam sangat kuat. Jauh lebih kuat daripada pengangkut pesawat. Itu saya boleh memberitahu anda,” kata Trump kepada Fox Business Network.

Merujuk kepada Kim Jong-un, Trump berkata, pemimpin Korea Utara itu telah melakukan kesalahan.

Ditanya sama ada Jong-un mempunyai mental yang kuat, Trump berkata: “Saya tidak tahu. Saya tidak kenal dia”.

Korea Utara pula awal-awal lagi berkata, negara itu bersedia menunggu maklum balas sebarang pencerobohan Amerika Syarikat.

“Tentera revolusi kami yang kuat dengan penuh minat memerhatikan setiap langkah oleh musuh dengan penglihatan nuklear yang memberi tumpuan pangkalan Amerika Syarikat di Korea Selatan, di pasifik dan di tanah Amerika Syarikat,” kata akhbar rasmi Rodong Sinmun.

Korea Utara kekal secara teknikal berperang dengan Amerika Syarikat dan sekutunya Korea Selatan selepas konflik Korea 1950-1953 berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

Ia kerap mengancam untuk memusnahkan kedua-dua negara. – MalaysiaGazette