Polis memeriksa keadaan sekeliling rumah mangsa bagi mendapatkan bahan bukti pembunuhan bagi kes itu.

MEDAN – Lima sekeluarga dibunuh dengan kejam di rumah mereka di Jalan Mangaan di daerah Medan Deli dekat Medan, Sumatera Utara di sini kelmarin.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri, Harionto dan Yanti, dua anak mereka, Gilang dan Naya serta ibu Yanti, Marni ditemui tidak bernyawa dan berlumuran darah kira-kira jam 9.45 pagi waktu tempatan.

Menurut ketua kampung Lingkungan XI, Budiono, hanya seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang juga merupakan anak kepada pasangan suami isteri tersebut ditemui masih hidup.

Katanya, kanak-kanak berkenaan, Kinara ditemui oleh jiran dalam bilik tidur dengan kesan cedera pada bahagian kepala dan mata dipercayai akibat dikelar dengan pisau.

“Saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci (mengenai pembunuhan). Yang pasti, Kinara selamat, namun mengalami lebam-lebam di bahagian muka.

“Daripada maklumat yang saya dapat, memang malam kejadian ada orang datang ke rumah mangsa. Dua lelaki (dipercayai suspek) datang sekitar jam 11 malam,” kata Budiono, memetik laporan Kompas.com.

Menurut ibu saudara mangsa yang dikenali sebagai Susi, dua lelaki disyaki terlibat dalam pembunuhan kejam itu dilihat datang ke rumah mangsa dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Mio.

Susi menjelaskan dia tidak mengesyaki bahawa kejadian tersebut ada kaitan dengan kes rompakan kerana barang berharga milik mangsa tidak hilang.

“Gelang emas dan beberapa barang perhiasan lain masih ada. Hanya sebuah motosikal milik anak saudara saya saja dilarikan oleh suspek,” katanya.

Polis yang menerima panggilan telefon mengenai pembunuhan itu terus bergegas ke lokasi kejadian.

Jurucakap polis mengesahkan mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Riyanto (Harionto), 40, isterinya, Sri Ariyani (Yanti), 40, dan dua anak mereka Naya dan Gilang masing-masing berusia 13 hingga lapan tahun.

Turut ditemui mati ibu Sri Ariyani, Sumarni yang berusia 60 tahun, dimana dua mayat ditemui berlumuran darah di dapur manakala tiga lagi terbaring di bilik tidur.

Dalam perkembangan sama portal Tribun News hari ini melaporkan, dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan wanita ditahan polis bagi mendapatkan keterangan berhubung kes pembunuhan lima sekeluarga itu.

Difahamkan, suspek merupakan saudara kepada keluarga mangsa.

Polis percaya mangsa dibunuh oleh lebih daripada seorang suspek dan motif serangan masih disiasat. – MalaysiaGazette