Presiden PAN, Mohamad Sabu berucap semasa merasmikan Seminar Pemikiran Nik Aziz Nik Mat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ucapan panel dalam Seminar Pemikiran Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat anjuran Parti Amanah Negara (PAN) baru-baru ini sedang diteliti panel peguam.

Panel peguam itu mewakili isteri allahyarham Nik Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan seluruh keluarga bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Salah seorang anaknya, Nik Adli berkata, panel peguam akan meneliti secara terperinci ucapan, kenyataan serta bagaimana seminar itu diadakan.

“Jika terdapat kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik Allahyarham Nik Aziz maka kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang undang bagi menjaga kesucian dan nama baik almarhum ayahanda kami,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 9 April lepas, PAN menganjurkan Seminar Pemikiran Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz walaupun sebelum itu keluarga allahyarham cuba menghalangnya melalui laporan polis.

Namun ia tetap diadakan dan dirasmikan oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu dan ucaptama oleh Penasihat PAN, Ustaz Ahmad Awang.

Panelisnya ialah Datuk Husam Musa, Wan Ji Wan Hussin dan Liew Chin Tong.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd. Khairuddin At-Takiri juga menganggap penganjuran seminar oleh PAN itu satu jenayah intelek.

Menurutnya, apa yang berlaku satu manipulasi terhadap pemikiran seorang yang telah tiada di dunia ini dan allahyarham tidak ada kena mengena dengan PAN.

Malah menurut Khairuddin, allahyarham terus istiqamah dengan Pas sehingga akhir hayat.

“Tok Guru terus istiqamah bersama Pas sehingga ke akhir hayatnya. Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada Pas. Itu adalah fakta semasa hayat beliau,” ujarnya.- MalaysiaGazette