Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Lima individu yang didakwa pihak tertentu kononnya mereka telah diculik kebanyakannya berstatus hilang, kata Ketua Polis Negara.

Justeru, Tan Sri Khalid Abu Bakar mahu pihak yang cuba mengelirukan orang ramai dengan membuat andaian sendiri kononnya lima orang individu itu diculik diminta menghentikan segera perbuatannya.

Kelima-lima individu tersebut ialah Pastor Raymond Koh, Peter Chong, Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth.

Khalid bagaimanapun mengesahkan salah seorang daripadanya iaitu Peter yang juga pembantu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang didakwa diculik telah dikesan menyeberangi sempadan memasuki Thailand.

Katanya, polis telah mendapat rekod gambar daripada Jabatan Imigresen di sempadan Thailand yang Peter Chong, 53, telah menaiki bas menyeberangi sempadan sekitar pukul 6.30 pagi pada 7 April lalu.

“Kami tak tahu apa niatnya tetapi dia terbukti meninggalkan negara ke Thailand bukannya diculik seperti digembar-gembur di media sosial,” uajrnya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Bukit Aman di sini hari ini.

Pihaknya akan bekerjasama dengan polis Thailand untuk mengesan Peter Chong kerana setakat ini tidak ada rekod dia kembali ke Malaysia semula.

Dalam perkara sama beliau berharap Peter Chong tampil segera menjelaskan statusnya di negara jiran itu sebagai menghentikan segala spekulasi tentangnya yang ditular dalam media sosial.

Tegas beliau, polis akan bersiap untuk bertindak ke atas Peter Chong sekiranya mendapati dia sengaja mencetuskan senario berbentuk mengelirukan orang ramai seolah dia diculik.

“Saya juga memberi amaran kepada mereka yang cuba mengelirukan orang ramai di media sosial dengan mencetuskan andaian kesemua lima individu itu diculik, supaya hentikan tindakan tidak bertanggungjawab anda itu,”jelasnya lagi.

Cuma, kata Khalid, salah seorang daripada lima yang didakwa itu iaitu Pastor Raymond Koh, 62, telah dilarikan sementara yang lain diklasifikasikan status hilang.

Polis juga sedang menyiasat beberapa laporan polis awam keatas Raymond yang didakwa cuba mengkristiankan beberapa pemuda Melayu.

“Ada beberapa laporan polis diterima dan ada juga pihak yang mahu memberikan maklumat kepada polis mengenai dakwaan itu, mereka dialu-alukan bagi membantu siasatan itu yang dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” tegasnya.- MalaysiaGazette