Najib Razak (dua dari kanan) dan Hishammuddin Hussein (kanan) melihat model projek Pangkalan Udara Sendayan di Negeri Sembilan. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2017.

SENDAYAN – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan beliau tidak terjejas dengan tujuan melaga-lagakan dirinya dengan kepimpinan sedia ada selepas dilantik Menteri Tugas-Tugas Khas Di Jabatan Perdana Menteri semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pelantikan tersebut tidak sepatut menjadi isu kerana ia telah dibincangkan lebih awal dalam kalangan pemimpin tertinggi sebelum ini.

“Saya baca dalam sosial media dan alhamdulillah, lantikan ini diterima baik kepimpinan kita.

“Ia telah dibincang lebih awal dengan pihak kepimpinan tertinggi dan akan bergerak ke hadapan serta menunaikan janji yang saya buat semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.

Mengulas lanjut pelantikannya semalam, Hishammuddin berkata, beliau perlu berbincang dengan Najib terlebih dahulu kerana peranannya adalah untuk membantu Perdana Menteri.

“Disebabkan ia satu kenyataan khas, saya akan maklumkan kepada orang ramai apa yang sepatutnya saya lakukan dan sedia terima arahan tersebut dari Perdana Menteri.

“Hasrat saya memikul amanah dan membantu beliau tanpa menjejaskan pertimbangan lain yang ada tujuan untuk melagakan saya dengan kepimpinan kita,” katanya.

Sementara itu, Najib tiba di Pangkalan Udara Sendayan pada pukul 9 pagi untuk lawatan singkat bagi meninjaukan perkembangan projek bernilai RM2.7 bilion itu.

Selain Hishammuddin, Najib turut ditemani Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang. – MalaysiaGazette