HONG KONG РJaguh trek negara, Azizulhasni Awang melahirkan rasa syukur kerana menjuarai acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di sini malam tadi.

Azizulhasni atau digelar The Pocketrocket Man berkata, ini kerana dia telah menunggu selama 10 tahun untuk mencipta sejarah sebagai pelumba negara pertama memenangi emas di Kejohanan Trek Dunia.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya saya menjadi juara.

“Selama 10 tahun saya menanti saat ini dan akhirnya berjaya menjadi Raja Keirin,” katanya selepas kejayaan itu.

Kejayaan membanggakan itu hadir selepas melakar kemenangan pingat gangsa Olimpik Rio di Brazil tahun lalu.

Sekali pun menerima saingan sengit di final daripada beberapa nama besar seperti pelumba Australia, Matthew Glaetzer, Azizulhasni membuktikan dia paling bertenaga apabila pertama melepasi garisan penamat.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata, ketinggalan 0.382 saat (s) manakala pelumba Republik Czech, Tomas Babek melengkapkan kedudukan podium selepas ketinggalan 0.417s. Begitupun, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di pusingan pertama.

Sementara itu, bapa kepada dua anak perempuan itu mengotakan janjinya untuk tidur dengan jersi kemenangannya yang dikongsinya dilaman sosial Instagram miliknya.

Gambar Azizulhasni sedang tidur itu kini menjadi tular di media sosial. – MalaysiaGazette