Ratu Rock Malaysia, Ella (tengah) bergambar bersama Aiman Tino (kiri) dan Sufian Suhaimi (kanan) selepas sidang media Ratu Rock Ella sempena Hari Setiausaha 2017 di Mini Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 28 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Buat julung kali, ratu rock negara, Ella bakal berkolaborasi dengan penyanyi baru menerusi persembahan Minggu Setiausaha yang akan berlangsung selama dua hari iaitu 26 dan 27 April ini.

Bakat baharu yang bertuah itu adalah dua penyanyi yang semakin meningkat naik iaitu Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Mereka bertiga akan menghiburkan peminat di Saloma Bistro & Theatre Restaurant, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Ella, 50, berkata, dia tidak untuk bertemu peminat pada persembahan tersebut memandangkan persembahan Minggu Setiausaha anjuran MaTic itu yang pertama kali diadakan sejak ditubuhkan pada 16 tahun lalu.

“Saya banyak bekerjasama dengan MaTic sebelum ini. Jadi apabila mereka ingin pertama kali menganjurkan persembahan Minggu Setiausaha, saya anggap sebagai penghargaan apabila menjadi pilihan.

“Apatah lagi apabila saya dimaklumkan akan digandingkan dengan  dua penyanyi baharu, Sufian dan Aiman yang sedang menjadi kegilaan ramai.

“Saya tiada halangan untuk saya bekerjasama dengan bakat muda seperti Aiman dan Sufian kerana sebagai artis senior, saya mahu menyokong karier mereka,” ujarnya.

Ella ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha 2017 anjuran MaTic itu di sini baru-baru ini.

Pada persembahan tersebut, setiap penyanyi akan menyampaikan sebanyak empat buah lagu, bahkan mereka turut menyajikan persembahan istimewa apabila bertukar lagu nyanyian sesama sendiri.

Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Zain Azrai Rashid (tengah) bersama Komposer Muzik, Lan Laga (dua kiri), Penyanyi Ratu Rock Malaysia, Ella (dua kanan), Sufian Suhaimi (kiri) dan Aiman Tino (kanan) bergambar kenangan bersama sempena Hari Setiausaha 2017 di Mini Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 28 MAC 2017
Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Zain Azrai Rashid (tengah) bersama Komposer Muzik, Lan Laga (dua kiri), Penyanyi Ratu Rock Malaysia, Ella (dua kanan), Sufian Suhaimi (kiri) dan Aiman Tino (kanan) bergambar kenangan bersama sempena Hari Setiausaha 2017 di Mini Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 28 MAC 2017

Sementara itu, Sufian, 25, pula menyifatkan peluang bergandingan dengan Ella sebagai pengalaman pertama sejak menceburi dunia seni tahun lalu.

“Pada awalnya, sewaktu ditawarkan mengadakan persembahan ini saya dan Aiman tidak tahu ada penyanyi lain yang terlibat. Selepas sudah setuju, baru tahu ada Ella

“Sejujurnya saya sangat teruja, namun pada masa sama berbesar hati kerana dapat mengadakan persembahan dengan nama besar dalam industri,” katanya.

Begitu juga dengan pelantun lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino yang berjanji untuk menggunakan sebaiknya persembahan pada acara tersebut bagi menimba pengalaman.

“Persembahan sebegini sebenarnya mendekatkan artis dengan peminat dalam skala yang lebih eksklusif. Pengalaman mengadakan persembahan itu juga memberi definisi baharu kepada penyanyi muda seperti saya dan Sufian untuk mencuri jiwa penonton,” katanya.

Pakej Minggu Setiausaha MaTic 2017 terhad kepada 600 tetamu sahaja. Ia dijual menerusi Pakej Permaisuri (RM650 seorang), Pakej Permata Biru (RM550 seorang) dan Pakej Pengemis Cinta (RM450 seorang).

Sementara itu, Pengarah MaTic, Zain Azrai Rashid menjelaskan, tidak timbul soal harga tiket yang mahal kerana ia bersesuaian dengan konsep eksklusif yang dibawa pada persembahan berkenaan.

“Tiket yang dijual hanya untuk 600 tetamu. Persembahan ini sangat eksklusif sebab kami mahu peminat dekat dengan artis pujaan mereka. Sebenarnya harga tiket tersebut sangat berpatutan untuk menyaksikan tiga orang artis popular dalam sebuah persembahan,” jelasnya. – MalaysiaGazette