Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara pengurusan subsidiari-subsidiari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 14 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Agensi-agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) diingat supaya memilih cabang perniagaan yang mempunyai kaitan dengan teras perniagaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, memilih cabang perniagaan yang ada hubung kait dengan perniagaan teras penting bagi mengelak berlakunya kerugian.

“Walaupun kita mempelbagaikan perniagaan tapi mesti kena ada kaitan dengan core business (perniagaan teras).

“Kita tak nak sesetengah itu tak boleh buat dengan perniagaan teras langsung hingga menyebabkan berlakunya rugi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak-anak syarikat agensi di bawah KKLW di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perkara itu sangat penting untuk dititik beratkan kerana kementerian tidak mahu agensi terbabit melakukan perkara yang sia-sia.

“Sebab itu ada saya sebutkan, ada satu syarikat besar gergasi kita akhirnya rugi kerana terlampau banyak melibatkan perkara-perkara lain.

“Macam MARA (Majlis Amanah Rakyat) pun, dulu kita ada hotel tapi sekarang kita dah jual sebab bila melibatkan perkara yang bukan teras akhirnya kita rugi,” ujarnya.

Terdahulu pada majlis itu, sebanyak 12 buah anak syarikat di bawah kementerian berkenaan menandatangi MoU bagi melibatkan tiga kluster perniagaan iaitu perkilangan, perkhidmatan dan pelancongan.

Langkah itu diambil bagi tujuan melakukan kerjasama strategik dalam menjalankan perniagaan serta memperkukuh tahap perkhidmatan masing-masing. – MalaysiaGazette