Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid menyifatkan langkah membawa usul tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertujuan menunjukkan kerajaan DAP di negeri itu cakap tidak serupa bikin.

Jahara berkata, langkah tersebut yang mendapat tentangan Guan Eng sendiri memperlihatkan mereka sebenarnya lebih menjurus mahu mempertahankan kuasa daripada memperjuangkan urus tadbir yang telus seperti dicanang.

“Sekarang kita dah dapat tarik perhatian rakyat tentang keperluan usul tersebut. Dia (Guan Eng cuba) menunjukkan kuasa sahaja apabila dia kata jika tidak mahu meletakkan jawatan atau cuti itu adalah kuasa dia.

“Jadi mereka dah melanggar apa yang mereka sendiri cakap iaitu ketelusan dalam pentadbiran, ini apa yang kami ingin terangkan kepada rakyat Pulau Pinang, bahawa pemimpin mereka ini cakap tidak serupa bikin” beliau dipetik berkata dalam satu kenyataan.

Jahara berkata, sikap Guan Eng itu juga mencerminkan mereka enggan mengakui kekurangan diri, sebaliknya berterusan menyerang kerajaan dengan dakwaan tidak berasas.

“Mereka banyak mengutuk orang tetapi mereka tidak nampak kekurangan diri sendiri dan jadi ini lebih kepada kejayaan kami untuk menengahkan kelemahan DAP kepada bukan sahaja Pulau Pinang tetapi satu Malaysia” ujar beliau.

Baru-baru ini, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, parti itu akan membawa usul untuk mendesak Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Menurut beliau, usul dibuat berikutan Guan Eng didakwa terlibat dengan dua tuduhan rasuah, termasuk pembelian banglo di bawah nilai pasaran. – MalaysiaGazette