Perarakan tentera Pyongyang. foto Agensi

PYONGYANG – Korea Utara menunjukkan peluru berpandu jarak jauh untuk kapal selam pada perarakan sempena ulang tahun kelahiran ke-105 Kim Il Sung, pengasas penubuhan negara itu pada hari ini.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, cucu Kim Il Sung, turut bersama menonton perarakan besar sempena “Hari Matahari” di Dataran Kim Il Sung, dekat Pyongyang.

Penganalisis senjata percaya sebahagian daripada peluru berpandu yang dipamerkan itu adalah peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang baharu.

Korea Utara menunjukkan dua ICBM baharu, diletakkan dalam pelancar kanister yang dipasang di belakang trak.

“Pyongyang sedang melaksanakan ‘konsep baru’ ICBM,” kata Melissa Hanham, seorang penyelidik kanan di Institut Middlebury yang berpangkalan di Pengajian Antarabangsa Middlebury di Monterey, California.

Bagaimanapun, katanya, Korea Utara mempunyai tabiat yang suka menunjuk konsep baharu senjata dalam perarakan yang belum diuji atau dilancarkan.

Menurut Hanham, masih terlalu awal bagi reka bentuk peluru berpandu seumpama itu.

Peluru berpandu balastik pelancaran kapal selam Pukkuksong juga ditunjukkan dalam perarakan itu buat julung-julung kalinya.

“Mempamerkan lebih daripada satu peluru berpandu menujukkan Korea Utara begitu progresif dengan rancangannya untuk meletakkan peluru berpandu pada kapal selam (SLBM) yang mana ia sukar dikesan.

“Ia menunjukkan komitmen Korea Utara untuk program ini. Kepelbagaian SLBM seolah-olah selari dengan matlamat untuk memajukan program peluru berpandu,” kata Pollack.

Choe Ryong Hae, pembantu yang rapat dengan Jong-un ketika berucap pada perarakan itu telah mengulangi amaran kepada Amerika Syarikat.

“Jika Amerika Syarikat melakukan provokasi melulu terhadap kami, kuasa revolusioner akan bertindak balas serta-merta dan kami akan memberi maklum balas secara perang penuh dan perang nuklear dengan gaya perang saraf nuklear,” katanya. – MalaysiaGazette