Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menyerang pihak yang mengkritik usahanya untuk memperkenalkan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU355).

Malah, presiden Pas itu turut menyifatkan mereka yang menghalang RUU355 telah melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

Dengan menggunakan pelbagai perumpamaan untuk membidas mereka yang menentang dan menganggap mereka sebagai jahil agama.

“Maka, begitulah RUU355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” katanya menerusi tulisan terbaru di Facebook.

Menurut Abdul Hadi, RUU yang disokong oleh Pas dan wakil rakyat UMNO secara terbuka telah ditentang dan penentangnya itu diibaratkan seperti ‘batu besar yang dicampak ke dalam lubuk yang tenang’.

“Namun kepada penentangnya laksana batu besar yang dicampak ke dalam lubuk tenang yang tidak disangka adanya buaya, bukan sahaja ikannya terkejut gelombangnya.

“Tiba-tiba semua menimbulkan diri, termasuk ular dan buaya paling besar menerkam dengan rakus menempik segala hujah termasuk mencetuskan perkara yang tersasul tidak ada kena mengena dengan tajuk RUU355, apabila menimbulkan Peraturan Mesyuarat yang tidak menyentuhnya sedikit pun, niatnya untuk memamah masa supaya tidak ada ruang langsung bagi RUU 355,” ujarnya.

Pada 6 April lalu, Abdul Hadi membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat, bagi membenarkan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah.

Bagaimanapun berlaku kekecohan apabila beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan bangun mempersoalkan tindakan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana menangguhkan sesi Dewan Rakyat tanpa memberi laluan untuk perbahasan RUU355 yang dibentangkan oleh Abdul Hadi itu.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah bangun mendakwa Speaker tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Hadi berkata, cadangan melaksanakan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah adalah sesuatu yang asas dan menerima sokongan padu umat Islam walau pun yang pegangan agama mereka `sebesar zarah paling halus’.

“RUU355 berjaya sehingga menyatukan semua penganut Islam termasuk paling jahil agamanya, namun masih wujud jati diri Islamnya tanpa mengira aliran politik dan pendidikan, kecuali segelintir yang terpinggir laksana melukut di tepi gantang.

Sebaliknya, Hadi menganggap mereka yang menentangnya melakukan demikian secara membabi buta.

“Jelas bahawa kalangan yang menentangnya adalah secara yang disebut dalam pepatah Melayu laksana membabi buta. Sudahlah babinya najis, tiba-tiba buta pula.

“Tindakannya juga mengancam perpaduan masyarakat majmuk dengan maksud melemahkan umat Islam yang menjadi terasnya, tanpa menghargai sikap Islam yang terbuka dan fleksibel terhadap semua,” katanya. – MalaysiaGazette