KINABATANGAN, 16 April -- Timbaloan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada Kelab Usahawan dan Ikhtiar cawangan Kinabatangan sempena majlis pelancaran Seranta Felcra Berhad hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KINABATANGAN – Kerajaan sentiasa melaksanakan pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar dengan seimbang bagi memastikan rakyat dapat sama-sama menikmatinya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menekankan bahawa komitmen itu perlu dijalankan dengan seimbang demi memanfaatkan rakyat tanpa menjejaskan keperluan mereka.

“Perdana menteri komited bukan hanya untuk melaksanakan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, Transit Aliran Massa dan Keretapi Berkelajuan Laju Kuala Lumpur-Singapura.

“Kita juga tidak lupakan pembangunan jalan di luar bandar serta keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik,” katanya semasa melancarkan Program Seranta Felcra Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan .

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan projek mega adalah bagi merancakkan ekonomi negara namun, pada masa sama, pembangunan di kawasan luar bandar harus dijalankan selaras dengan kehendak rakyat akar umbi.

Timbalan perdana menteri menegaskan kerajaan sememangnya mengutamakan agenda untuk rakyat dan mahu menterjemahkannya dengan baik.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan pembinaan 240 unit Rumah Bina Negara (RBN) yang dilaksanakan Felcra Berhad di Parlimen Kinabatangan dan Parlimen Libaran.

Ia membabitkan 120 unit RBN masing-masing di Kampung Suan Lamba, Kinabatangan dan Rancangan Sungai Manila di Sandakan.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman di antara Felcra Berhad dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah serta Felcra International Ventures Sdn Bhd dan Premier International Marketing Sdn Bhd. – MalaysiaGazette