KUALA LUMPUR – Sayap parti itu sudah siap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 pada bila-bila masa, kata Ketua Pemuda Barisan Nassional (BN), Khairy Jamaluddin.

Persiapan bagi menghadapi PRU-14 sudah pun dimulakan parti itu sebelum Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak melancarkan jentera Jalinan Rakyat (JR Plus) Jumaat lalu, ujarnya.

“Saya rasa kita sudah berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi. Jentera BN bagi pihak Pemuda BN sudah bersedia dan kita hanya tunggu bila Parlimen dibubarkan sahaja.

“Persiapan kita sudah bermula lebih awal lagi. Kita tidak fokus kepada apa yang pembangkang buat, kita cuma fokus kepada rakyat,” katanya merujuk kepada kata-kata Najib semalam di Kuala Nerus.

Khairy berkata demikian selepas merasmikan Program Sukarelawan Kuala Lumpur 2017 (V4KL2017) di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Najib dalam satu majlis di Terengganu semalam berkata, kerajaan memerlukan mandat daripada rakyat pada PRU14 akan datang.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata ia hanya akan dapat dicapai sekiranya rakyat mahu melihat visi besar dan perancangan rapi bagi negara untuk dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kata-kata itu seakan memberikan tanda bahawa PRU-14 bakal menjelang tidak lama lagi.

JR Plus yang dirasmikan Najib bakal berfungsi sebagai platform bersama jentera UMNO dan BN dalam menghadapi PRU-14 kelak.

JR Plus merupakan pendekatan lebih strategik bagi menjalin hubungan lebih rapat dan erat dengan rakyat.

Pembangkang katanya dilihat tergugat dengan pelancaran JR Plus oleh BN yang mampu bergerak ke akar umbi dalam mendengar denyut nadi rakyat yang akan mengundi pada PRU akan datang.

“Ramai yang melihat pelancaran JR plus hari itu agak sedikit gerun dengan perpaduan yang ada dalam BN dan persiapan kita menghadapi PRU14,” katanya. – MalaysiaGazette.