Nur Jazlan Mohamed, foto Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap akhbar Nanyang Siang Pau berhubung penerbitan kartun monyet yang mencetuskan kemarahan Pas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini kerana pihaknya sudah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan oleh akhbar berkenaan.

“KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan berhubung perkara itu,” kata Jazlan.

Beliau berkata demikian memetik kenyataan yang dibuat kepada China Press dan Nanyang Siang Pau selepas merasmikan sebuah majlis di Taman Bukit Indah, Gelang Patah, Johor, malam tadi.

Beliau bagaimanapun mengingatkan akhbar berkenaan supaya tidak mengulangi lagi perbuatan itu di masa hadapan.

“KDN akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang melakukan perbuatan sama pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh menyakitkan hati orang lain dan kemudian meminta maaf,” kata Jazlan.

Pada 11 April lalu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari bersama sebahagian ahli dan penyokong Pas menunjukan memorandum bantahan kepada pengurusan akhbar Nanyang Siang Pau.

Demontrasi berkenaan kemudiannya menyerahankan Memorandum Bantahan Kebiadapan Akhbar Nanyang Siang Pau di hadapan pejabat urusan akhbar tersebut di Petaling Jaya.

Pas pada masa sama telah melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil ke atas akhbar Nanyang Siang Pau dengan kadar segera.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah menghantar salinan pelantikan peguam itu kepada Peguambela dan Peguamcara Tetuan Tengku Amilin ‘A-Ishah Puteri, Faizi dan Wan Rohimi untuk tindakan.

Pas Pusat katanya memandang serius langkah akhbar itu yang dengan sengaja dan dengan niat menyiarkan karikatur menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 8 April lalu. – Malaysia Gazette