Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak pernah membuat cadangan penetapan tentang usia persaraan sebaliknya isu itu diperbesarkan akibat salah faham.

Sebaliknya, isu yang menjadi keutamaan Cuepacs sekarang adalah tentang pemilikan kediaman mampu milik bagi kakitangan awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, dianggarkan 30 peratus penjawat awam yang berusia 40 tahun ke bawah dan 40 peratus yang berusia 40 tahun ke atas belum memiliki kediaman sendiri.

Menurut beliau, angka itu amat menyedihkan terutama jika ada penjawat awam yang sedang berada dalam penghujung perkhidmatan masih lagi menyewa atau tinggal di rumah keluarga.

“Bukan mereka tidak mahu beli, tapi harga rumah yang ditawarkan terlalu tinggi. Tidak sepadan dengan gaji mereka. Ini belum lagi kira pelbagai caj terbuka dan tersembunyi yang dikenakan kepada pembeli rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai pertemuan antara Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dalam tempoh terdekat ini bagi membincangkan isu usia persaraan.

Katanya, Malaysia tidak boleh berbangga dengan promosi Malaysia Rumah Keduaku kepada warga asing, jika masih ramai dalam kalangan rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri disebabkan harga pasaran yang melampau.

Tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak, tetapi Azih berkata, promosi itu tidak ubah seperti anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran.

“Tetapi pada masa sama, kita di sini pula melaungkan Rumahku Syurgaku. Mana ‘syurgaku’ itu kalau rumah pun tidak mampu beli,” soal beliau.

Azih berharap kerajaan mempunyai iltizam yang kuat untuk menangani kebimbangan rakyat tentang pemilikan rumah sendiri melalui polisi-polisi yang mungkin perlu dilihat dan disemak semula.

“Bukankah setiap pemaju perumahan suatu ketika dahulu diminta menyediakan rumah kos rendah dan kos sederhana untuk pembangunan hartanah tertentu. Adakah polisi itu dipatuhi, kalau dipatuhi manakah rumah kos rendah dan kos sederhana itu? Kita persoalkan kerana pembinaan rumah mewah lebih banyak,” katanya.

Jelas Azih, bukan hanya ahli-ahli Cuepacs seramai 1.6 juta itu terkesan dengan kenaikan harga rumah tetapi kakitangan swasta juga, apatah lagi kedudukan mereka dalam pekerjaan bukan satu jaminan seperti penjawat awam.

Lantaran itu, katanya, isu pemilikan kediaman akan terus diperjuangkan oleh Cuepacs dengan tujuan tidak mahu ada pesara-pesara awam yang terpaksa menyewa rumah ketika sudah pencen. – MalaysiaGazette