Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pengguna media sosial agar tidak menggunakan acuan daripada negara luar untuk dipraktikkan di negara ini.

Ujarnya, biar pun Malaysia kini menjurus kepada teknologi tanpa sempadan, tidak semua amalan-amalan dalam sosial media di negara luar sesuai untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kita jangan ikut acuan atau template negara lain untuk diadaptasikan dan digunakan ekologi dan sistemnya di negara kita.

“Kita mesti menggunakan teknologi dan sistem yang ada di negara kita sebagai asas untuk kita bertoleransi pelbagai kaum, agama dan budaya kerana ini adalah Malaysia

“Kepelbagaian ini harus diraikan bukan untuk dijadikan sebagai tapak untuk kita berbeza pendapat atau mewujudkan konflik,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC 2017) di Putrajaya hari ini.

Memberikan contoh sebuah buku nukilan Ryan Holiday berjudul, Trust Me, I’m Lying, katanya, ia banyak memberi maklumat yang salah kepada masyarakat.

Malah katanya, perkara itu ternyata salah dan tidak boleh diguna-pakai di negara ini.

“Saya tidak fikir budaya itu ada di Malaysia walaupun ada dialam kalangan mereka yang mengamalkannya tetapi saya fikir masyarakat kita adalah masyarakat yang perlukan kehamonian,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Ujar Ahmad Zahid, masyarakat harus menolak sebarang maklumat atau berita-berita yang disengajakan untuk merosakkan satu sistem yang ada kerana boleh menggangu gugat kestabilan masyakat. -MalaysiaGazette.