Jamal Md Yunos menunjukkan bukti dakwaan salah guna Zuraida Kamaruddin dalam bentuk dokumen sebelum menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyerahkan bukti dakwaan salah guna kuasa Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, penyerahan bukti itu sebagai kesinambungan daripada penahanan reman Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah yang didakwa mempunyai kaitan dengan Zuraida.

“Seluruh dunia, Selangor dan Ampang tahu Adam bekerja dengan Zuraida.

“Sebagai contoh pekerja saya kaya dan mempunyai 10 biji kereta mestilah saya lebih kaya…sebab itulah kita mencurigai Zuraida, selain menyiasat Adam, kita minta juga SPRM siasat Zuraida,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jamal hadir ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 3:15 petang tadi bersama penasihat undang-undang NGO, Datuk Mohd Imran Tamrin untuk menyerahkan senaskah dokumen didakwa bukti salah guna kuasa Zuraida kepada pihak berkuasa itu.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menawarkan bantuan guaman kepada Adam Rosly berhubung kes kekayaan luar biasanya susulan selepas Zuraida dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyisihkanya.

“Saya rasa simpati dan kasihan terhadap Adam Rosly yang disiasat oleh SPRM, simpati kami ini kerana ‘ibu dan bapanya’ tidak mengaku sebagai anaknya maksudnya Zuraida dan Azmin Ali.

“Sejak semalam mereka tidak mengendahkan kewujudan Adam Rosly, jadi saya berpakat dengan rakan NGO untuk kumpulkan RM500 setiap NGO,” katanya.

Jelasnya, sebagai permulaan, beliau telah berjaya mengumpul dana bantuan guaman sebanyak RM20,000.

“Kami perlukan beberapa lagi kerana kos guaman mungkin memakan sebanyak RM50,000 sebagai kos permulaan. Zuraida dan Azmin lepas tangan dan saya umumkan beri khidmat guaman percuma kepadanya kerana saya yakin apa yang berlaku kepadanya cukup tragis.

“Beliau belum cukup matang kerana masuk dalam politik terus menjadi Ketua AMK Ampang, beliau mungkin mangsa keadaan dan terjebak apabila melihat peluang di depan mata,” katanya.

Semalam, Zuraida menyatakan bahawa beliau bersedia untuk disiasat SPRM susulan penahanan reman Adam Rosly berhubung dakwaan kekayaan luar biasa yang dimilikinya. – MalaysiaGazette