Senator Datin Rahimah Mahamad

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta meningkatkan usaha mengawal aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan manusia, narkotik dan terrorisme di sempadan Malaysia-Thailand.

Senator Datin Rahimah Mahamad berkata, susulan peningkatan kes-kes jenayah rentas sempadan, kerajaan Thailand telahpun mengambil langkah memasang 800 kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Sungai Golok, Kelantan bagi membendung aktiviti berkenaan.

“Justeru, saya memohon agar KDN menguatkuasakan dengan lebih ketat pergerakan warganegara dan pelancong asing yang melalui sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Persidangan Dewan Negara hari ini.

Rahimah juga meminta agar liputan internet berkelajuan tinggi di Kelantan dipertingkatkan bagi memberi peluang negeri itu turut aktif terlibat dengan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

“Kekangan utama rakyat Kelantan untuk proaktif dan intensif melibatkan diri dalam perniagaan di pasaran digital adalah liputan internet yang kritikal kelajuan aksesnya.

“Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu melihat perkembangan terkini mengenai liputan internet di negeri Kelantan secara menyeluruh untuk memastikan kejayaan DFTZ,” katanya. – MalaysiaGazette