KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 peratus penumpang Rayani Air yang menempah tiket dengan kad kredit telah mendapat bayaran semula.

Suruhanya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, isu pembayaran itu dapat diselesaikan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia.

“Bagaimanapun, Mavcom tidak dapat mengesahkan status bayaran balik daripada penumpang yang tidak berdaftar dengan kami, mungkin mereka telah engemukakan kepada bank masing-masing untuk memohon pembayaran balik,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdullah Ahmad hari ini.

Operasi Rayani Air telah digantung pada 8 April tahun lalu dan lesen pengendalian udara serta lesen perkhidmatan udara telah dibatalkan oleh Jabatan Penerbangan Awam dan Mavcom pada 13 Jun tahun lalu.

Pembatalan itu telah menyebabkan banyak penumpang tidak boleh meneruskan penerbangan.

Mavcom berkata, pihaknya menerima sebanyak 737 aduan berkaitan Rayani Air dengan 98 peratus aduan melibatkan permohonan pembayaran balik tiket penerbangan disebabkan syarikat itu sudah tidak beroperasi. – MalaysiaGazette