gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat lebih tinggi pada kadar 5.1 peratus pada bulan lepas berikutan asas indeks yang rendah pada tahun sebelumnya dan harga bahan api runcit yang lebih tinggi berbanding Mac 2016.

IHP bagi bulan tersebut adalah yang tertinggi sejak November 2008 apabila ia naik sebanyak 5.7 peratus, kata Jabatan Perangkaan.

Inflasi teras kekal stabil pada 2.5 peratus pada Mac 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks Pengangkutan (+23.0 peratus), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+4.1 peratus), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (+3.0 peratus), Kesihatan (+2.6 peratus), Restoran & Hotel (+2.3 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.1 peratus).

Jabatan Perangkaan berkata, indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 23.0 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Mac 2017, setelah naik 17.9 peratus pada Februari 2017.

Peningkatan ini disebabkan kesan daripada asas indeks kumpulan Pengangkutan yang rendah pada Mac 2016 dan harga bahan api yang lebih tinggi pada Mac 2017.

Harga purata 1 liter petrol RON95 adalah RM2.29 pada Mac 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.60 pada Mac 2016.

Bagi petrol RON97, harga purata adalah RM2.59 pada Mac 2017 berbanding RM1.95 pada Mac 2016.

Kelas perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus daripada wajaran IHP.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.1 peratus pada Mac 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan Minyak dan Lemak (+38.8 peratus), Ikan & Makanan Laut (+5.2 peratus), Sayur-sayuran (+4.8 peratus), Daging (+3.7 peratus) dan Buah-buahan (+3.7 peratus).

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada Mac 2017, dengan kenaikan 4.4 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan Mac 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah Minyak Masak (+48.5 peratus), Tembikai (+15.4 peratus), Bayam (+10.9 peratus), Udang (+9.1 peratus), Kobis Bulat (+8.2 peratus), Sawi (+7.6 peratus), Ikan Kembong (+7.0 peratus), Ikan Tenggiri (+5.2 peratus), Sotong (+4.4 peratus) dan Ayam (+3.4 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti Bawang Kecil (-14.0 peratus), Bawang Besar (-4.6 peratus) dan Lobak Merah (-2.2 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Enam negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional bagi Mac 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016.

Indeks bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik 5.0 peratus di Melaka, 4.6 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 4.5 peratus di Johor, 4.5 peratus di Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, 4.3 peratus di Kedah & Perlis dan 4.3 peratus di Pulau Pinang.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol turun 0.3 peratus pada Mac 2017, setelah naik 0.9 peratus pada Februari 2017.

Sementara itu, indeks kumpulan Bukan Makanan kekal tidak berubah pada Mac 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+3.7 peratus), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (+3.0 peratus), Pengangkutan (+2.9 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.7 peratus) dan Kesihatan (+2.6 peratus). (Jadual 3)

IHP bagi tempoh Januari hingga Mac 2017 mencatatkan kenaikan sebanyak 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol merupakan pendorong utama kepada kenaikan IHP bagi tempoh Januari hingga Mac 2017, mencatatkan peningkatan 4.2 peratus.

Peningkatan ini adalah disebabkan kenaikan indeks Makanan Di Rumah (+4.5 peratus) dan Makanan Di Luar Rumah (+4.0 peratus).

Manakala indeks Kopi, Teh, Koko & Minuman Bukan Alkohol turun 0.2 peratus. Antara subkumpulan Makanan Di Rumah yang mengalami kenaikan signifikan dalam tempoh ini ialah Minyak & Lemak (+38.3 peratus), Sayur-sayuran (+7.4 peratus), Ikan & Makanan Laut (+5.2 peratus), Daging (+3.4 peratus) dan Buah-buahan (+3.1 peratus).

Kumpulan utama lain yang menyumbang kepada kenaikan IHP dalam tempoh ini ialah Pengangkutan (+16.2 peratus), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (+3.1 peratus), Kesihatan (+2.5 peratus), Restoran & Hotel (+2.3 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.1 peratus).

Inflasi teras, yang mana tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal mencatatkan perubahan dalam julat antara 2.3 peratus hingga 2.5 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette