Home Ekonomi Malaysia dapat faedah kenaikan tarif ke atas Mexico, China

Malaysia dapat faedah kenaikan tarif ke atas Mexico, China

KUALA LUMPUR – Polisi ‘America First’ oleh Donald Trump dijangka terus memberi kesan faedah kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Laporan Khas bertajuk Global Trade: Trade first! yang dikeluarkan oleh Standard Chartered Global Research hari ini menjangkakan Mexico dan China akan dikenakan tarif ke atas produk tertentu oleh Amerika Syarikat.

Selain dua negara itu, Jepun dan Jerman turut disasarkan tindakan sama.

Menurut Standard Chartered, setiap negara-negara tersebut akan menyaksikan kesan kerugian bagi eksport ke Amerika Syarikat.

Umpamanya empat negara itu diramal mengalami penurunan KDNK sebanyak 4.7 peratus, diikuti Kanada 4 peratus.

“Negara-negara lain akan melihat kesan yang ketara kepada KDNK termasuk Jerman, Ireland, Vietnam, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Malaysia,” kata laporan itu.

Malaysia terkesan dengan polisi perlindungan Trump ke atas China, Jerman, Mexico dan Jepun kerana negara ini membekalkan produk-produk perantara kepada negara-negara tersebut. Lantaran itu, kesannya tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, pada masa sama tarif yang dikenakan ke atas produk-produk tertentu dari negara tersebut akan membuka peluang kepada negara-negara lain untuk meningkatkan produk eksport mereka termasuk Malaysia.

Menurutnya, beberapa negara Asia boleh meningkatkan bekalan langsung produk-produk ini bagi mengimbangi kerugian yang disebabkan penurunan eksport barangan pengantara melalui rantaian bekalan.

Katanya, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia boleh eksport terus produk-produk itu ke Amerika Syarikat. Begitu juga dengan Vietnam, Thailand dan Filipina.

Standard Charterd percaya perang perdagangan global ala tahun 1930an tidak akan berlaku lagi kerana dasar perlindungan Trump hanya memberi ancaman kepada perdagangan dunia yang memberi status Amerika Syarikat sebagai pengimport terbesar dunia.

“Pasaran memang bimbang jika ia perang perdagangan ini berlaku tetapi kami tidak menjangkakan ia akan berulang kerana struktur ekonomi sudah berubah.

“Kewangan dan aliran perdagangan bersatu dengan ekonomi, menjadikan ia sukar untuk dijejaskan salah satunya.

“Sedangkan dasar perlindungan perdagangan pada tahun 1930an adalah satu sistem yang tegar, yang mana pelbagai mata wang ditetapkan dan mekanisme penyelarasan berasaskan harga bagi menangani ketidakseimbangan.

“Apungan kadar pertukaran pada masa kini menyediakan jaminan keselamatan, mengurangkan langkah dramatik demi mengekalkan keseimbangan,” menurut laporan itu. – MalaysiaGazette