Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pelancaran Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputra 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Selagi nyawa dikandung jasad, Datuk Seri Najib Razak berikrar akan terus memperjuangkan agenda Bumiputera sehingga mencapai matlamat 30 peratus ekuiti yang disasarkan, di samping menjaga kesejahteraan kelompok tersebut.

Janji Perdana Menteri itu dibuat semasa melancarkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang merupakan kesinambungan kepada Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0 (HTEB) yang dikendalikan
di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sejak 2012-2017.

“Selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dimulakan ayahanda saya (Tun Abdul Razak), perjuangan saya demi kesejahteraan Bumiputera bukan sekadar kedudukan selaku pemimpin, tetapi datang dari leluhur saya yang ikhlas dan jujur.

“Kepada orang Melayu dan Bumiputera Islam dan bukan Islam yang menginduki negara ini, usahlah gundah dan bimbang.

“Selagi nyawa dikandung jasad, agenda TKB ini akan ‘tatap kita perjuangkan sampai bila-bila,” katanya hari ini.

Pelancaran itu diadakan sempena Pameran “Memacu Agenda Bumiputera 2017” di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) dan turut dihadiri kebanyakan jemaah menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ia disaksikan 1,500 hadirin yang terdiri daripada penerima langsung daripada program-program kerajaan.

Menerusi TKB, kata Najib, agenda Bumiputera tidak lagi tertumpu kepada aspek ekonomi, tetapi juga pendidikan, persekitaran yang selesa serta sosio-budaya.

“Apa yang saya mahukan ialah transformasi yang bersifat inklusif dan holistik,” katanya.

TKB menggariskan lima transformasi utama, iaitu melonjakkan skala syarikat bumiputera, memperkasakan modal insan, meningkatkan daya saing, memberdaya mobiliti sosial dan transformasi secara tuntas dan holistik.

Katanya, inisiatif ini menunjukkan semangat DEB terus hidup dan dasarnya dilaksanakan sehingga kini.

“Hak-hak keistimewaan oran Melayu dan Bumiputera mesti dipertahan sampai bila-bila…bahkan kekat menjadi agenda nasional,” katanya.

Namun katanya, ia tidak bermakna kerajaan mengambil hak-hak kaum lain.

“Kerajaan sentiasa beringat dalam memperjuangkan agenda bumiputera, ia bukan bermakna kita sewenangnya mengambil hak orang lain. Secara beriring, kerajaan wajib menjaga kepentingan sah kaum-kaum yang ada di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette