Home Ekonomi Maybank lancar Maybank2u Pay

Maybank lancar Maybank2u Pay

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd melancarkan gerbang pembayaran baru, Maybank2u Pay untuk menyokong usahawan e-dagang, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Maybank berkata, peniaga e-dagang boleh membuat permohonan dalam talian untuk mendapatkan kemudahan itu dan menerima kelulusan dalam masa 24 jam.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, Maybank2u Pay adalah sebahagian daripada inisiatif kumpulan itu untuk meningkatkan keupayaan e-pembayaran untuk perniagaan e-dagang, terutamanya PKS, yang memerlukan platform pembayaran mudah, berkesan dan menjimatkan kos.

Menurut beliau, e-dagang terus berkembang di Malaysia dan dijangka meningkat lebih 20 peratus pada tahun 2020.

“Kemudahan ini penting untu memberi sokongan yang diperlukan kepada perniagaan tempatan bagi meluaskan trend membeli-belah secara atas talian.

“Perniagaan perlu membina kehadiran yang lebih kukuh dalam pasaran atas talian, terutamanya dengan pengenalan Zon Perdagangan Bebas Digital di negara ini.

“PKS memberi sumbangan yang besar kira-kira 37% kepada KDNK negara pada 2016 dan dengan Maybank2u Pay kami akan membantu mengembangkan perniagaan dalam talian dan meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” kata Hamirullah di sini.

Antara faedah kemudahan Maybank2u Pay adalah yuran transaksi yang rendah, laman yang mudah diwujudkan dan tidak ada keperluan untuk dokumen permohonan dalam talian.

Pelanggan boleh mengemukakan permohonan Maybank2u Pay online di https://m2upay.maybank2u.com.my/#/.

Setelah diluluskan, sudah tentu mereka akan dapat memuat turun Kit Pembangunan Perisian (kod SDK) dan mengintegrasikan ke laman dalam talian mereka.

Sebaik sahaja ia dapat diintegrasikan, laman itu akan membolehkan perniagaan menerima pembayatan melalui debit akaun atas talian melalui Maybank2u.

Sejak Maybank2u Pay diperkenalkan awal Mac lalu, sebanyak 600 permohonan daripada PKS telah diterima bagi perkhidmatan ini.

Bersempena dengan pelancaran Maybank2u Pay, Maybank menawarkan pengecualian yuran transaksi untuk tiga bulan bagi mereka yang mendaftar untuk perkhidmatan ini sebelum 31 Mei 2017. – MalaysiaGazette