KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran meningkat pada minggu depan, didorong kehadiran minat pelabur yang ketara berikutan perkembangan positif di peringkat global.

Pasaran tempatan dijangka menyaksikan dagangan aktif susulan kehadiran semula pelabur di pasaran selepas berakhirnya kebimbangan mengenai ketegangan politik di Korea Utara dan Syria.

Seorang penganalisis berkata, usaha pembaharuan cukai Amerika Syarikat, sebagaimana dinyatakan oleh Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin bahawa White House akan membuat pengumuman berkaitan dalam masa terdekat ini, turut menjadi antara fokus utama pada minggu depan.

“Jika Trump berjaya mendapat kelulusan pihak Kongres, ini akan menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran saham global,” katanya.

Peserta pasaran juga akan mengikuti rapat perkembangan pilihan raya presiden Perancis yang mana keputusannya akan mempengaruhi pergerakan pasaran saham global sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Di peringkat tempatan pula, pengumuman Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) 2.0 akan turut mempengaruhi dari segi momentum positif untuk pembelian saham-saham berkaitan Bumiputera pada minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran saham tempatan mencatat prestasi lebih kukuh selepas ketegangan politik Korea Utara dan Syria kembali reda.

Pada asas mingguna, FBM KLCI naik 25.06 mata kepada paras 1,756.05 daripada 1,730.99, didorong oleh belian terhadap kaunter berkaitan indeks serta saham mewah terpilih, terutamanya saham berkaitan kewangan dan perbankan.

Indeks FBM Emas pula menambah 182.46 mata kepada 12,490.58, Indeks FBMT 100 menokok sebanyak 178.11 mata kepada 12,126.22 manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 88.66 mata kepada 12,848.06, FBM 70 melonjak 235.5 mata kepada 14,730.78 dan FBM Ace menokok 156.5 mata kepada 6,158.12. – MalaysiaGazette