JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap seorang warden asrama bagi membantu siasatan kes memukul seorang pelajar tahfiz di sebuah madrasah swasta di Kota Tinggi, Johor

Majistret Mazana Sinin membenarkan warden lelaki yang berusia 29 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Rabu ini.

Warden itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.45 pagi dengan pakaian baju lokap.

Lelaki itu telah ditahan petang semalam di rumahnya di Felda Lok Heng Barat selepas laporan polis terhadapnya dibuat berikutan seorang pelajar lelaki menanggung kecacatan kekal apabila kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong.

Kisah Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie, 11, tular di Facebook, didakwa mengalami kesakitan di kaki selepas dipukul oleh suspek.

Mangsa telah mengadu kakinya sakit dan bengkak. Kedua-dua kakinya lebam dan kemerah-merahan serta jangkitan kuman yang merebak ke buah pinggang.

Dia kemudian dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada Rabu lalu.

Kes itu kini disiasat mengikut seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010. – MalaysiaGazette