Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Ajib Ismail (depan empat kiri) bersama Pengasas Pelayaran Islamik, Suhaimi Abd Ghafar (depan empat kiri) bergambar dengan sebahagian artis yang akan turut serta dalam Pelayaran Simfoni Cinra Ilahi pada majlis pelancaran yang diadakan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 24 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Konsep pelayaran Islamik yang ditonjolkan beberapa pihak sebelum ini bersesuaian dengan konsep kesederhanaan dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, konsep pelayaran bertemakan Islam itu tidak membataskan pelanggan untuk menikmati pelayaran mewah namun juga boleh menuntut ilmu khususnya ilmu agama.

Konsep penganjuran program agama di atas kapal mewah kini boleh dikatakan sudah diterima dan mendapat sambutan dengan penglibatan para ilmuan.

“Ia bersesuaian dengan konsep kesederhanaan di dalam agama kita seperti dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  atau moderate Islam di mata dunia.

“Memastikan pelayaran ini menghidangkan makanan halal dan hidangan aktiviti bermanfaat diwaktu santai tanpa paksaan disamping menikmati fasiliti,” katanya dalam teks ucapan dibacakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohd. Adib Ismail.

Ucapan itu dibaca semasa perasmian Pelayaran Cruise Mewah Siri Pelayaran Simfoni Cinta Ilahi di ibu negara hari ini.

Sejak pelayaran pertamanya yang bermula pada tahun 2014, program sudah melalui 24 pelayaran dengan membawa 788 peserta mendalami ilmu keagamaan disamping merehatkan minda di atas kapal.

Dalam pada itu, lebih daripada RM585,000 kepada pelbagai saluran iaitu tempat yang dituju, pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim.

“Sesungguhnya konsep yang sebegini merangsang lebih ramai umat Islam untuk tertarik menyertai aktiviti disamping acara santai bersama Keluarga dengan mendekati ibadah ibadah secara tidak langsung. Pasti ianya lebih santai dan menenangkan hati serta minda dengan caranya tersendiri,” kata Jamil Khir.

Sebelum ini, pelayaran mewah anjuran IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd mendapat banyak reaksi negatif daripada orang ramai yang menuduh menuduh program tersebut sebagai menjual nama Islam demi keuntungan.

Menurut pengarah urusannya, Suhaimi Abd Ghafer, konsep yang digunapakai oleh pihaknya mendapat kebenaran beroperasi menggunakan makanan halal yang diiktiraf JAKIM.

“Disini pelayaran Islamik tampil dengan konsep percutian dan kita tidak menggunakan konsep ceramah agama semata-mata tetapi lebih kepada konsep percutian keluarga, bulan madu, namun masih menekankan konsep halal yang kita tidak boleh kompromi langsung.

“Kami berurusan dengan JAKIM sahaja dimakan kita berhubung dengan panel luar negara yang mempunyai hubungan dengan JAKIM,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bermula dengan program Kembara Datuk Ustaz Kazim Elias (Kembara UKE), program ini kini ditukar kepada Pelayaran Islamik berkonsepkan penganjuran program agama di atas kapal mewah.

Pelayaran siri ke 22 ini menamakan sebut harga pakej daripada RM2,577 sehingga RM3,077 seorang  untuk pelayaran tiga hari dua malam.

Pelayaran terbabit menampilkan penceramah terkemuka termasuk Ustaz Zambri Mantap, Pencetus Ummah Lokman dan kumpulan nasyid terkenal, Raihan. -MalaysiaGazette.