Home Ekonomi IHP tidak gambar kenaikan kos sara hidup

IHP tidak gambar kenaikan kos sara hidup

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengemukakan satu indikator penanda aras baharu untuk mengenalpasti kos sara hidup berbanding menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP).

Mekanisme mengukur kadar IHP sudah tidak sesuai kerana kandungan ‘dalam bakul’ yang menentukan kadar inflasi hanya disemak lima tahun sekali dan ia melibatkan barangan atau perkhidmatan tertentu sahaja.

Lantaran itu, penanda aras IHP tidak selari dengan pengalaman semasa pengguna atau rakyat yang sedang mengalami kesan kenaikan kos sara hidup, kata penganalisis bebas, Azrul Azwa Ahmad Tajudin.

“Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan indikator baharu memandangkan penanda aras yang digunakan sekarang tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Misalnya, wajaran harga barangan dan perkhidmatan semasa berubah-ubah, sedangkan bakul yang digunakan untuk menghitung IHP hanya disemak lima tahun sekali.

“Ini dapat dibuktikan melalui keluh-kesah atau rungutan rakyat secara berterusan mengenai kos sara hidup ,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Azrul berkata, kaji selidik kos sara hidup oleh Economist Intelligence Unit (EIU) yang diterbitkan baru-baru ini tidak boleh dijadikan perbandingan tepat ke atas Malaysia disebabkan beberapa faktor.

Sehubungan itu menyatakan kos sara hidup Malaysia adalah terendah di ASEAN adalah tidak tepat

Kajian itu membandingkan lebih 400 harga setiap satu ke atas 160 produk dan perkhidmatan sahaja termasuk makanan, minuman, bekalan isi rumah, barangan penjagaan diri, sewa rumah, pengangkutan, bil utiliti, sekolah swasta, bantuan domestik dan kos-kos rekreasi.

Lagipun kajian ini melibatkan perbandingan kos sara hidup antara bandar dengan New York dan dalam kes Malaysia hanya Kuala Lumpur.

Selain itu, kajian itu direka untuk membantu pengurus sumber manusia dan kewangan mengira elaun kos sara hidup dan pakej pampasan bagi ekspatriat dan pengembara perniagaan.

Azrul berkata, adalah tidak adil bagi kerajaan untuk menyatakan kos sara hidup di Malaysia lebih murah seandainya bersandarkan faktor-faktor di atas.

Selain itu metodologi yang digunakan adalah harga-harga barangan dan perkhidmatan dikumpulkan ditukarkan kepada mata wang Amerika Syarikat menggunakan kadar pertukaran semasa dan berwajaran bagi mencapai indeks perbandingan.

“Jika perbandingan dibuat ketika mata wang ringgit lemah, sudah tentu ia menyumbang kepada prestasi baik dalam kos sara hidup, lebih-lebih lagi seandainya kandungan import lebih tinggi.

“Misalnya pada tahun lalu harga tambang bas adalah RM1 dan ditukarkan kepada dolar hanya 0.25 cent. Sekarang harga tambang bas RM2, dalam dolar kenaikan kepada 44 cent. Jadi perbezaan 0.25 cent dan 44 cent memang tidak besar.

“Tetapi jika kita ambil perbandingan dengan nilai dolar Singapura dengan dolar Amerika Syarikat, sudah tentu ia kos hidup lebih tinggi kerana nilai mata wang negara itu mengukuh,” jelasnya. – MalaysiaGazette