1MDB

KUALA LUMPUR – International Petroleum Investment Company PJSC (IPIC) akan menerima sejumlah AS$602.725 juta pada 31 Julai 2017 dan jumlah sebanyak AS$602.725 juta pada 31 Disember 2017 hasil penyelesaian timbang tara di di Mahkamah Antarabangsa Timbang Tara London.

Pembayaran itu susulan selepas IPIC, Aabar Investments PJS, Kementerian Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mencapai perjanjian untuk menyelesaikan prosiding timbang tara di Mahkamah Antarabangsa Timbang Tara London.

Dalam notis kepada Bursa Saham London, IPIC memaklumkan perjanjian itu adalah tertakluk kepada Tribunal Timbang Tara pada persetujuan yang dicapai pada 31 Mei 2017.

Sementara itu, 1MDB dan MoF Inc., memberi jaminan untuk memikul tanggungjawab bagi semua pembayaran faedah dan pokok masa depan di bawah dua bon yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat 1MDB yang dijamin oleh 1MDB dan IPIC.

Ia membabitkan sejumlah AS$1.750 bilion dengan kadar tetap 5.75 peratus. Nota bon itu matang pada 2022 yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited.

Satu lagi bon AS$1.750 bilion pada kadar tetap 5.99 peratus yang matang pada 2022 dikeluarkan oleh 1MDB Energy Limited.

Pihak-pihak telah memberi aku janji dan perlindungan daripada kerugian berhubung obligasi di bawah penyelesaian.

Pihak-pihak juga telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan berhubung dengan pembayaran yang dibuat oleh Kumpulan 1MDB kepada entiti tertentu. – MalaysiaGazette