Abdul Rahman Dahlan

SUBANG JAYA: Langkah kerajaan dalam meningkat ekonomi dalam perancangan secara tersusun nyata mendapat pujian pihak antarabangsa terutamanya Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, pujian itu dizahirkan dua badan kewangan dunia itu dalam satu pertemuan antara beliau dengan wakilnya, dua minggu lalu.

“Lebih kurang dua minggu lalu, saya dikunjungi oleh wakil daripada Bank Dunia dan juga Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memberikan kita pujian mengiktiraf usaha Malaysia yang mempunyai perancangan ekonomi yang tersusun.

“Negara lain walaupun mereka mempunyai pelan pembangunan tetapi selalunya tidak lembap untuk diimplementasikan. Tetapi kerana Malaysia sudah mempunyai pengalaman dalam merancang ekonomi, kita diletakkan diantara salah satu negara di dunia yang terbaik dalam merancang ekonomi negara,” katanya dalam Bengkel Menteri ASEAN 2017 anjuran Universiti Sunway hari ini.

Ujarnya pencapaian itu dicapai Malaysia kerana mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang dalam membangunkan negara dan merangka ekonomi yang lebih utuh sebagaimana yang dibentuk dalam Rancangan Malaysia (RM) yang telah diwujudkan sejak mencapai kemerdekaan.

Antaranya Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) yang menjurus kepada Agenda 2030 yang kini berada dalam RMK11.

“Hari ini kita dapati bahawa Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) agenda 2030 yang telah dipersetujui oleh masyarakat pelbagai bangsa. Sebenarnya banyak objektif SDG ini sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11).

“Jadi transisi kita untuk merialisasikan Rancangan Malaysia kepada merealisasikan agenda SDG itu agak senang kerana kita telah lebih awal lagi mengorak langkah untuk mengurangkan jurang kemiskinan, memastikan akses kepada perumahan dan sebagainya adalah agenda dan objektif SDG,” katanya lagi.

Sebelum ini Bank Dunia menjangka ekonomi Malaysia tumbuh pesat sebanyak 4.3 peratus pada 2017.

Malah momentum itu akan terus berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun depan apabila penyesuaian kepada harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi menjadi stabil. – MalaysiaGazette