Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan bantuan kewangan kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi (dua kanan) pada majlis Penyampaian Cek Bantuan Peruntukan kepada Sekolah Pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Institusi Tahfiz Berdaftar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 25 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Persatuan Pondok dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengiktiraf peranan institusi pengajian agama secara pondok di negara ini.

Mereka menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mengambil berat sistem pengajian pondok dengan menyalurkan peruntukan untuk menambahbaik dan menyelenggara struktur bangunan yang daif serta uzur.

Pengerusi Pertubuhan Pondok-Pondok Negeri Kedah, Sabri Osman berkata, untuk sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan tahfiz di negeri itu sahaja Perdana Menteri memperuntukan lebih RM13.252 juta.

Katanya, satu jumlah yang besar untuk institusi pengajian pondok berdaftar meningkatkan mutu pembelajaran agama kepada anak penduduk setempat.

Sabri Osman
Sabri Osman

“Saya secara peribadi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri. Hari ini, Persatuan Pondok Kedah mendapat bantuan untuk menyelenggara pondok dan memberi pendidikan lebih cemerlang kepada anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas majlis penyerahan mock cheque bantuan peruntukan kepada Sekolah Pondok Berdaftar (SPB), SMAR dan Institusi Tahfiz Berdaftar (ITB) di Dewan Banquet di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Najib menyampaikan bantuan berjumlah kira-kira RM80 juta kepada SPB, SMAR dan ITB seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Peruntukan itu adalah yang dijanjikan Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016 di Parlimen.

Presiden Majlis Pengetua SMAR Kelantan, Zulkifli Mat Yusof pula berkata, dengan adanya bantuan itu, dapat meningkatkan sistem pembelajaran agama dalam kalangan pelajar, selain belajar dalam suasana ceria.

Zulkifli Mat Yusof
Zulkifli Mat Yusof

Ujar beliau, Perdana Menteri hari ini seorang yang cakna dengan masalah pengajian agama dan sentiasa mengambil berat jika ada kekurangan dihadapi sesebuah sekolah.

“Saya akan berbincang dengan beberapa pengetua SMAR untuk menyelaraskan apa yang perlu dilakukan bagi memastikan sekolah ini menterjemahkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memperkasakan institusi pengajian agama.

“Saya mewakili pihak pengurusan SMAR Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dan sentiasa pula mengambil berat pengajian agama,” katanya.

Pengetua Madrasah Tahfiz Khoirul Uloom, Senawang, Negeri Sembilan, Mohd Ali Abdul Kadir mengucapkan syukur dengan bantuan yang disalurkan kerajaan Persekutuan.

Mohd Ali Abdul Kadir
Mohd Ali Abdul Kadir

Jelasnya, beliau akan menggunakan sebaik mungkin peruntukan yang diberikan itu untuk meningkatkan pembelajaran dalam kalangan anak murid.

Selain itu, katanya, struktur bangunan pondok yang daif akan ditambah baik bagi memberi keselesaan pengajian kepada murid. – MalaysiaGazette