KUALA LUMPUR – Sistem perbankan Malaysia stabil dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Naib Presiden dan Penganalisa Kanan Moody’s Investor Service, Simon Chen berkata, firma tersebut mengunjurkan tinjauan masa hadapan yang stabil kepada sistem perbankan dipacu oleh jangkaan operasi yang semakin stabil disokong oleh pemulihan beransur pertumbuhan global.

Ini menjadikan kualiti aset dan keuntungan bank lebih stabil.

“Paras modal bank yang kukuh dan stabil, sokongan kerajaan yang tinggi mendokong unjuran kestabilan bank-bank di Malaysia.

Unjuran stabil yang dikeluarkan Moody’s adalah berasaskan lima pemacu iaitu persekitaran operasi, kualiti aset dan modal, pembiayaan dan kecairan, keuntungan dan keberkesanan dan sokongan sistematik.

Menurut beliau, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebenar sepatutnya dicatatkan secara purata sebanyak 4.3 peratus pada tahun 2017-2018, meningkat berbanding 4.2 peratus pada tahun 2016.

Ini menjadi petunjuk yang aktiviti ekonomi domestik kekal kukuh.

Bagaimanapun menurut beliau, ketidaktentuan ringgit dijangka kekal berikutan penyelerasan berterusan di dalam aliran modal dan sekaligus memberi impak kepada sentimen perniagaan dan pelanggan.-MalaysiaGazette