Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Alor Setar, Kedah. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2017

ALOR SETAR – Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz hari ini memberi bayangan seolah-olah keperluan pihaknya bekerjasama dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

Walaupun tidak menyebutnya namun caranya menggesa sayap parti itu untuk menyebarkan mesej perpaduan atas nama Islam yang merentasi perbezaan ideologi politik jelas menjurus ke arah itu.

“Saya menyeru agar PRU-14 ini dijadikan medan kepada Pemuda Pas untuk melebarkan muafakat dan berperanan sebagai Duta Perpaduan Ummah dengan membawa mesej ‘Islam Didahulukan, Kita Bersamanya’.

“Himpunan 355 menjadi contoh bahawa agenda besar ini mampu dijayakan, apabila semua pihak yang cintakan Islam dapat duduk bersama tanpa mengira fahaman politik, demi menjayakan cita-cita dan matlamat yang sama,” ujarnya dalam ucaptama perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas ke- 58 disini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, Pas sentiasa memperjuangkan agama Islam terutama dalam masyarakat majmuk yang menjadi tulang belakang Malaysia, bukannya ideologi kebangsaan.

“Paksi perpaduan yang diperjuangkan Pas adalah Islam bukan kebangsaan. Islam yang dipegang mesti bebas diamalkan, kuasa kepimpinan Islam dipertahankan dan kewujudan masyarakat majmuk perlu dimanfaatkan.

“Negara dan umat Islam perlu diselamatkan daripada bahaya yang dirasai dan bahaya menanti, melalui pendekatan dialog, muzakarah dan persetujuan untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama.” – MalaysiaGazette