Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Alor Setar, Kedah. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2017

ALOR SETAR – Pas hari ini melancarkan kutipan dana sebanyak RM5 bagi seorang ahli bagi membantu parti itu meneruskan saman terhadap akhbar atas talian Sarawak Report.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan perasmian sidang Mukatamar Dewan Pemuda Pas ke-58 berkata, langkah itu diambil memandangkan parti itu tidak mempunyai dana mencukupi bagi membiayai kes saman tersebut.

“Pas tidak ada duit tapi orang Pas sanggup berkorban pertahan maruah parti. Sumbang RM5 seorang bagi tampung kos nak menyaman,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda di Kota Sarang Semut, Kedah.

Tuan Ibrahim turut menjangka kutipan tersebut dapat mengumpul dana sebanyak RM200,000 dalam masa tiga hari sepanjang muktamar kali ini.

Tahun lepas Sarawak Report membuat dakwaan pemimpin Pas ada menerima dana daripada wang skandal 1Malaysia Development Berhad.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan sayap parti itu supaya tampil mempertahankan parti daripada serangan-serangan musuh di medan laman sosial.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya ahli-ahlinya menggunakan bahasa yang berakhlak dalam tugas tersebut.

“Dalam cabaran fitnah media sisial pemuda kena tampil bela parti. Namun kita perlu satukan kekuatan supaya kita sama-sama tidak terjerat provokasi musuh yang mahu timbulkan suasana tidak harmoni.

“Jangan terjerat sama. Jangan guna bahasa yang tidak berakhlak. Akhlak mulia contoh terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette