Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz

ALOR SETAR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz membayangkan jika parti itu memenangi lima negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), parti itu mempunyai kuasa untuk meminda enakmen undang-undang syariah di peringkat negeri yang dimenangi.

Kuasa pindaan itu juga tambahnya perlu diikuti dengan kelulusan Rang Undang-Undang Persendirian 355 (RUU 355) di Parlimen yang dibawa oleh presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Cukuplah untuk saya gambarkan di sini, andai ditakdirkan pindaan Akta 355 diluluskan di Parlimen dan Pas berjaya mentadbir minimum lima buah negeri pada PRU-14.

“Kita sebenarnya mempunyai kuasa untuk meminda enakmen undang-undang syariah di peringkat negeri di samping mensejahterakan rakyat dengan pelbagai dasar sosio-ekonomi berkebajikan menurut acuan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Sidang Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-58 di sini hari ini.

Anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu turut melontarkan keyakinannya bahawa impian Abdul Hadi untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen mampu dicapai pada PRU-14.

Namun, untuk mencapai kejayaan tersebut, beliau turut menggesa agar calon lebih muda perlu diberi peluang untuk bertanding kerusi tersebut bagi menguasai undi anak muda.

“Kita berkeyakinan dengan berkat usaha dan pertolongan Allah, Pemuda Pas mampu merealisasikan hasrat presiden untuk memenangi minimum 40 kerusi parlimen dan mentadbir lima buah negeri.

“Dengan komitmen Pemuda Pas untuk meletakkan lebih ramai calon muda dan menguasai 60 peratus undi anak muda di setiap kerusi yang ditandingi,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi menyasarkan Pas untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang – MalaysiaGazette