Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

ALOR SETAR – Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor tidak perlu meletak jawatan sekiranya Majlis Syura Ulama meluluskan untuk putus tahaluf siyasi antara Pas dan PKR.

Ini kerana menurut beliau, lantikan jawatan exco itu bukan dibuat oleh PKR sebaliknya atas perlantikan Datuk Seri Azmin Ali atas kapasiti Menteri Besar.

Khalil yang baru memegang jawatan Ketua Pemuda Pas secara rasmi hari ini turut mengingatkan PKR bahawa kerusi Pas lebih banyak berbanding parti yang kini menjadi seteru baru Pas itu.

“PKR tidak melantik exco Pas di Selangor, dan secara fakta pun kerusi PKR lebih sedikit dari kerusi Pas di Selangor.

“Exco Pas di Selangor tidak perlu letak jawatan dan exco Pas Selangor tidak dilantik oleh PKR, tidak dilantik oleh DAP sebab itulah mereka mesti teruskan tugas mereka untuk rakyat.

“Masing bekerja untuk rakyat bukan untuk parti semata-mata, kalau exco Pas bekerja untuk rakyat tidak ada sebab Pas untuk mengikut telunjuk pimpinan PKR,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution memberi amaran kepada pemimpin Pas di Selangor supaya meletak jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya meneruskan hasrat untuk memutuskan tahaluf siyasi.

Semalam, Dewan Ulama Pas meluluskan usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, diikuti oleh Dewan Pemuda parti itu hari ini tanpa sebarang bantahan. – MalaysiaGazette