Mohd Syafiq Zainal (dua kiri) bersama tiga ahli jawatankuasa Yayasan Dana Kebajikan Muslim menunjukkan surat pekeliling yang dikeluarkan Universiti Malaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) hari ini tampil membersihkan nama daripada tuduhan terlibat dalam gerakan militan, pengganas dan ekstremis.

Menurut Pengerusinya, Mohamad Syafiq Zainal, penyebaran maklumat tidak benar mengenai gerakan sukarelawan itu melalui media sosial yang menuduh terlibat dalam gerakan militan adalah tidak benar.

“Kami tidak pernah menerima apa-apa dana daripada gerakan militan baik ISIS, Daesh, atau yang lain.

“Kami memang bebas daripada tuduhan, malah tidak ada keraguan dari sudut akidah dan syariah. Walaubagaimanapun keputusan ini tertakluk kepada perubahan pada masa akan datang.

“Kami memang bebas daripada tuduhan (berhubung gerakan militan), malah tidak ada keraguan dari sudut akidah dan syariah. Walaubagaimanapun keputusan ini tertakluk kepada perubahan pada masa akan datang,” demikian jelas Syafiq merujuk kepada surat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pada 24 Mac lalu, YDKMM telah menerima sepucuk surat daripada JAWI menyatakan badan itu telah meneliti dakwaan terhadap yayasan tersebut dan mendapati tiada keraguan daripada sudut syariah dan akidah semua yang terlibat dalam yayasan berkenaan.

Semua ini bermula pada 17 Ogos lalu apabila Universiti Malaya (UM) mengeluarkan surat pekeliling yang menyatakan larangan pelajar terlibat dengan yayasan berkenaan.

Ia berikutan terdapat laporan daripada pasangan ibubapa yang membuat laporan kepada Hal Ehwal Pelajar UM berhubung perubahan sikap anak mereka sejak menyertai yayasan sukarelawan itu.

Justeru itu, UM mengemukakan satu surat pekeliling kepada YDKMM melarang semua pelajar daripada menyertai yayasan berkenaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.

Dalam surat berkenaan, mana-mana pelajar dikesan mengingkari larangan berkenaan boleh diambil tindakan tatatertib sebagaimana yang terkandung di bawah seksyen 15 (1) dan (2) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan di bawah Kaedah 3 (a) dan (i) Kaedah-kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999.

“JAWI sedang menjalankan kajian dan siasatan bagi mengenal pasti kaitan yayasan kami dengan anasir militan.

“Akibat daripada itu, tersebar luar larangan ini sehingga ke universiti lain antaranya UiTM dan sampai ke universiti di Mesir juga.

“Oleh itu mereka mengambil langkah berhati-hati dan ada yang tidak mahu bersama dengan yayasan kami, tapi pada dasarnya mereka mahu bersama kami namun disebabkan ada surat ini, segala aktiviti mereka terpasak dihentikan buat sementara waktu,” jelas Syafiq.

Ekoran itu, semua aktiviti melibatkan YDKMM dengan semua universiti terutamanya UM tergendala.

Malah pihak ‘Education Malaysia Egypt’ turut meminta yayasan mereka di Mesir untuk menangguhkan sebarang aktiviti berkaitan yayasan berkenaan. – MalaysiaGazette.