JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal korek yang berdaftar di Fuzhou, China di Kota Tinggi semalam bersama kapten kapal dan enam anak kapal.

Ketika ditahan pada pukul 12.15 tengah hari, kapal yang bernama “Chung Hong 68” itu berada pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika Tenggara Tanjung Stapa.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim, Amran Daud berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut pernah ditahan oleh pihak penguatkuasaan Indonesia pada 20 April lalu tetapi melarikan diri semasa dalam perjalanan menuju ke Posal Letung, Lanal Tarempa Kepulauan Riau.

“APMM menerima laporan daripada Ibu Pejabat Pusat Operasi Maritim Malaysia kemungkinan kapal itu memasuki perairan Malaysia.

“Dalam rondaan rutin APMM menemui kapal tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Amran berkata, kapal itu didapati tidak melaporkan ketibaannya.

“Ia tidak mendapat kebenaran untuk bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia. Jika didapati bersalah pemilik kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952. – MalaysiaGazette