Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 APRIL 2017

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak pernah celaru dalam hala tuju politik sebaliknya pemikiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri sebenarnya yang celaru.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tanggapan Abdul Hadi itu sebagai tidak berasas dan tidak mengikuti perkembangan politik PPBM yang kian mendapat sambutan khususnya orang Melayu dalam setiap perjumpaan.

“Tak ada (celaru), dia yang kata celaru, kita tak celaru, mungkin pemikiran dia bercelaru agaknya tak tahu lah. Abdul Hadi tidak mengetahui situasi dan keadaan yang sebenar yang ada dalam PPBM sejak ia ditubuhkan.

“Saya tak tahu kenapa Presiden Pas mungkin tidak mengikuti (perkembangan PPBM), agaknya dia fikir parti kita ini baru. Sebab itu ada tanggapan bagi saya tidak betul,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di sini petang tadi.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi selepas menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Alor Setar semalam bahawa Pas tidak akan mengadakan sebarang hubungan politik dengan PPBM.

Menurutnya, ia berikutan Pas melihat PPBM tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan, sambil mempersoalkan siapa makmum, siapa imam terhadap parti serpihan Umno itu

Ditanya mengenai dakwaan 30 ahli PPBM Dungun, Terengganu mengisytiharkan keluar parti itu, Muhyiddin tidak bimbang dengan perkembangan tersebut.

“Pastinya ribuan menyertai dan menyokong kita, kalau mereka nak keluar, itu hak mereka, kami tak rasa bimbang kerana yang menyertai parti kita sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau yakin parti serpihan Umno itu bakal memenangi pilihan raya akan datang sususlan peningkatan sokongan sehingga 15,000 orang diterima setakat ini.

“Kalau kita mengikuti kehadiran orang Melayu dalam perjumpaan-perjumpaan yang telah diadakan oleh Pakatan Harapan, jumlah mereka begitu besar sehingga meningkat kepada 15,000 orang walaupun mengikut TV3 cuma 200 orang saja. Itu sebab mereka tak reti bilang.

“Ramai orang Melayu keluar dan kita lihat ramai daripada mereka itu terdiri daripada ahli UMNO, nampaknya ahli Umno pun berminat dengan kita. Sebab itu kita yakin kita boleh menang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette