Perwakilan dari Kelantan, Datuk Abdullah Yaacob bercakap pada sesi perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 30 APRIL 2017

ALOR SETAR – Sungguhpun Pas bertelagah dengan DAP tetapi parti itu tidak pernah anti Cina, India mahu pun Orang Asli.

Malah, Pas terutama kerajaan Kelantan melantik wakil kaum bukan Islam sebagai penghulu, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pegawai Khas kepada Menteri Besar pun orang Cina.

Perwakilan Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob memberitahu, kerajaan negeri itu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Datuk Annuar Tan sebagai wakil kepada kaum bukan Islam ini untuk menjaga kepentingan mereka.

“Kelantan tidak ramai org Cina dan India, tapi kita tetap meraikan mereka, kita lantik wakil kaum bukan melayu ke jawatan penghulu dan Ahli Majlis PBT,” kata pada hari kedua Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut dekat sini, hari ini.

Abdullah yang juga ADUN Bukit Panau mengulangi Pas marah kepada DAP kerana parti cauvinis itu menentang Islam.

Katanya, ketika Pas Kelantan hendak meminda Kanun Jenayah Syariah, Akta Rang Undang-Undang 355, DAP bersama beberapa pemimpin Islam dari Pakatan Rakyat (PR) sepakat menggagalkan usaha Pas hendak memperkasakan syariah Islam.

“Mereka mengadakan pertemuan tanpa pengetahuan Pas untuk mengisytiharkan cadangan kita hendak memperkasakan kanun jenayah syariah sebagai tidak relevan,” katanya. – MalaysiaGazette