Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAY 2017.

ALOR SETAR – Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menyeru kepada semua ahli supaya membeli akhbar rasmi parti itu, Harakah.

Beliau membuat seruan tersebut berikutan menerima aduan serta keluhan daripada akar umbi Pas bahawa mereka tidak mempunyai dana yang cukup untuk membeli akhbar itu.

Ekoran daripada keluahan itu, Nasruddin meyakinkan kepada semua ahli partinya bahawa dengan membeli akhbar itu, mereka boleh menambah rezeki.

“Kalau cawangan itu kata tak ada duit nak beli Harakah, kena beli Harakah. Insya-Allah akan dilipatganda rezeki cawangan itu.

“Allah yang akan melipat gandakan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki,” katanya pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-63, di Alor Setar hari ini.

Nasruddin yang juga calon Naib Presiden Pas yang baru, menggalakkan supaya kesemua perwakilan dan ahli parti menjayakan kempen 3B yang dilancarkan untuk Harakah sebelum ini.

“Kempen 3B iaitu beli, baca dan beri. Beli ini adalah infak, dan kita telah lancarkan projek satu cawangan beli 10 Harakah.

“Ertinya satu cawangan perlu mencari 10 orang pembeli Harakah. Jadi ini adalah perkara yang perlu dilakukan secara serius,” katanya. – MalaysiaGazette