Para perwakilan menderma bagi membiayai kos saman Pas terhadap Sarawak Report semasa Muktamar Tahunan Pas ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAY 2017.

ALOR SETAR – Berikutan kos guaman yang melebihi RM200,000 untuk menyaman akhbar dalam talian Sarawak Report, Pas terpaksa mengerahkan ahlinya meneruskan derma sebanyak RM5 bagi setiap seorang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan pelancaran derma tersebut berkata, kos untuk proses saman tersebut menjadi tinggi berikutan nilai Ringgit yang semakin mengecil berbanding Pound Sterling.

Tambahnya, antara punca nilai matawang yang semakin kecil ada kerana pentadbiran Barisan Nasional.

“RM200,000 tu bukan tak banyak, tapi kecil. Yang jadikan ia kecil (berbanding Pound Sterling) itu kerana UMNO BN,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim melancarkan kutipan RM5 tersebut dan menjangkakan berjaya mengumpul sebanyak RM200,000 dalam tempoh dua hari pada sidang Muktamar Pas tahun ini.

Walau bagaimanapun, kutipan derma tersebut terpaksa diteruskan berikutan jumlah yang berjaya dikutip ketika ini berjumlah RM23,000.

Jumlah kos yang perlu dikumpul bagi membiayai proses saman tersebut memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000.

“Keputusan pusat sudah tetapkan, untuk kutip RM5 setiap ahli, untuk kepimpinan kita wakaf RM100 seorang.

“Arahan ini hendak dipercepatkan diturunkan kepada ahli-ahli di bawah,” katanya dalam ucapan pagi ini. – MalaysiaGazette