Tan Sri Abdul Wahid Omar ketika berucap pada forum Dana Islam Antarabangsa dan Pengurusan Harta di Dewan Senat, Universiti Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak. foto SAFWAN MANSOR, 02 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menyenaraikan lebih banyak institusi-institusi kewangan Islam di Bursa Malaysia untuk merangsang dana Islam dan industri pengurusan kekayaan.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, cadangan itu selari dengan rangka kerja yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat antarabangsa untuk dana Islam dan pengurusan kekayaan.

Untuk melaksanakannya, beliau berkata, Malaysia perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hab global bagi dana-dana Islam, selain menjadikan negara pusat serantau bagi tanggungjawab dan kemampanan pelaburan patuh Syariah.

Malaysia juga perlu dibangunkan sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan kekayaan Islam.

Abdul Wahid berkata, selain itu, penyenaraian Islam atau saham-saham “I” juga boleh dipertimbangkan bagi kumpulan-kumpulan perbankan yang memperoleh sebahagian keuntungan daripada kewangan Islam.

“Sebagai contoh, sehingga 25 peratus keuntungan Maybank diperoleh daripada kewangan Islam. Memandangkan Maybank Islamic adalah milik Maybank, kita boleh katakan 20 peratus saham Maybank adalah saham patuh Syariah melalui penghadangan atau ‘ring fencing’.

“Berdasarkan modal pasaran Maybank sebanyak RM97 bilion, ini boleh mewujudkan kelas baharu bagi instrumen patuh Syariah bernilai RM19 bilion.

“Perkara saya sama boleh diguna pakai kepada CIMB dan RHB yang mempunyai aktiviti kewangan Islam yang besar,” katanya ketika berucap di Forum Pengurusan Kekayaan dan Dana Islam Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangasa Malaysia.

Tambah beliau, selain BIMB Holdings Berhad, Malaysia juga wajar mempunyai penyenaraian kedua kumpulan perbankan universal Islam.

Abdul Wahid berkata, ia boleh diterajui oleh MBSB, Bank Muamalat, MIDF atai salah satu daripada bank-bank Islam asing.

Pada masa sekarang hanya ada 627 sekuriti patuh Syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan hanya dua dari sektor kewangan iaitu BIMB dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

Jelas Abdul Wahid, sektor kewangan menyaksikan sekuriti paling rendah disenaraikan dan sekuriti-sekuriti patuh Syariah pula sekadar mewakili 6.0 peratus. – MalaysiaGazette