Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR – Kegagalan Pas membawa pembangunan di Kelantan menyebabkan ramai rakyat Kelantan terpaksa berhijrah keluar seperti warga Bangladesh datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata,  pertumbuhan ekonomi di Kelantan yang lembap menyumbang kepada faktor penghijrahan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, setiap kali tiba pilihan raya umum menyaksikan berduyun-duyun ramai pulang untuk mengundi.

“Kita lihat pertumbuhan ekonomi Kelantan lembap, kegiatan ekonomi tidak ada, pelancong tidak datang, kedai kraftangan ada yang sudah tutup, jadi sebab itu ratusan ribu rakyat Kelantan berhijrah keluar Kelantan, itu tidak dinafikan, sebab itu bila pilihan raya beratus ribu balik mengundi.

“Mereka ini berada Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang dan di merata tempat. Jadi orang Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur macam orang Bangladesh berhijrah ke Malaysia, macam orang Indonesia datang, cari kerja sebab di Kelantan berniaga tidak memberi kelebihan daripada segi mencari keuntungan kerana tidak ramai orang datang,” katanya semasa sidang media di pejabatnya hari ini.

Untuk rekod, Pas memerintah Kelantan selama 27 tahun sejak tahun 1990.

Situasi tersebut juga menyumbang kepada kadar penggangguran yang tinggi di Kelantan, kata Ibrahim.

“Di Kelantan pendapatan tidak meningkat, penggangguran tinggi, sebab itu mereka keluar dari Kelantan,” katanya lagi.

Beliau kemudiaan memberikan contoh dalam insiden pencerobohan kampung Orang Asli baru-baru ini di mana bertujuan untuk aktiviti pembalakan sebagai bukti kegagalan Pas gagal mencari inisiatif untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di negeri itu.

“Kita lihat baru-baru ini, kezaliman dibuat terhadap Orang Asli, mereka ceroboh tanah adat, mahkamah pun sudah buat keputusan.

“Itu contoh mereka tidak tahu membangunkan Kelantan dan cari hasil untuk Kelantan, tidak tahu cari revenue untuk Kelantan,” ujarnya.

Namun, rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Kelantan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran untuk UMNO merampas negeri tersebut kerana dalam pemikiran rakyat di negeri itu masih menolak Barisan Nasional, terang Ibrahim.

“Walaupun, rata-rata bercakap tidak berpuas hati dengan Pas, tetapi dahulu orang Kelantan majoriti atas pagar terutama dari Kuala Lumpur balik mengundi Pas kerana mereka mindset tidak mahu UMNO.

“Walaupun wujud keadaan tidak puas hati kepada Pas di Kelantan, tetapi tidak mudah untuk UMNO rampas kerajaan negeri dari Pas,” katanya.

Selain itu, rakyat Kelantan juga ada satu sifat ‘ulat dalam batu pun boleh hidup’ dan tidak terlalu bergantung semata-mata kepada parti politik untuk meneruskan kehidupan mereka, katanya. – MalaysiaGazette