Syed Ali Alhabshee
Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil untuk Pakatan Harapan (PH) melantik sesiapa sahaja bagi mencerminkan pembangkang sepakat dalam kepimpinan mereka.

Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, apa sahaja boleh berlaku dalam gabungan pembangkang.

Malah katanya, rakyat boleh menilai tindak tanduk menongkah arus pembangkang dengan melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku penasihat PH bersama-sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Syed Ali.

“Dalam politik ini kita tidak boleh baca (perubahan), apa-apa boleh berlaku. Biarlah Pakatan Harapan mempunyai cita-cita (untuk lantik sesiapa), kita tidak boleh halang. Nak lantik sesiapa jadi Penasihat, tapi rakyat boleh menilai apa yang Barisan Nasional telah lakukan dan sedang lakukan.

“Jadi rakyat boleh menilai (tindakan lantik Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim selaku penasihat PH). Rakyat boleh tengok nanti,” katanya ketika mengiringi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merasmikan Majlis Anugerah Guru Bestari Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) hari ini.

Prinsip politik pembangkang ujarnya kelihatan caca marba apabila pernah menentang kepimpinan Dr. Mahathir, namun kini mampu untuk sepentas dengan pembangkang dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

“Apa yang mereka lakukan ini pastinya saya rasa akan berubah di masa akan datang. Mereka tidak kukuh sebagaimana BN.

“Barisan Nasional memang sudah kukuh dari segi struktur pemimpinan, mereka (PH) duduk berbincang pun boleh berubah pendirian masing-masing,” katanya.

PH semalam membuat kenyataan melantik bekas Perdana Menteri itu selaku penasihat gabungan pembangkang yang akan berkongsi kerusi dengan Anwar.

Langkah itu bagi merealisasikan impian PH untuk didaftarkan sebagai satu gabungan yang sah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya mengenai perpecahan antara Pas dan PKR, Syed Ali berkata, pembangkang sememangnya tidak boleh dipercayai bagi mentadbir negara kerana pergolakan dalaman yang dihadapi mereka.

Jelasnya, perpecahan dalaman yang dihadapi pembangkang kini tidak membolehkan mereka menjadi kerajaan yang baik sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir Putrajaya kelak.

“Bila hubungan antara Pas dan PKR sudah putus itu menampakkan kelemahan gabungan pembangkang. Mereka kahwin (tahaluf siyasi) hanya untuk sementara waktu sahaja. Bila perpecahan ini berlaku, rakyat kena menilai semula.

“Kalau rakyat nak mengharapkan gabungan pembangkang, itu rakyat boleh tengok sekarang berlaku perpecahan di kalangan mereka.

“Adakah rakyat nak beri keyakinan kepada pembangkang sedangkan apa yang mereka buat kita dapat lihat mereka tidak akan kekal lama seperti mana apa yang berlaku pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette