Cadangan logo baharu Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Selepas senarai pendek logo-logo Pakatan Harapan (PH) semalam dikritik teruk gabungan pembangkang itu hari ini terpaksa membuka peluang kepada orang ramai yang berminat mencipta logo lain.

Media PH dalam satu kenyataan berkata, tawaran itu bermula hari ini dan berakhir 9 Mei.

“Semalam, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR telah memuatnaik ke dalam Facebook beliau beberapa draf logo PH untuk mendapatkan maklumbalas umum terhadap draf logo-logo tersebut.

“Bagi pihak Media PH, kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah secara jelas memberi komen, maklumbalas, kritikan serta cadangan yang membangun.

“Setelah mengambilkira pandangan umum serta berpandukan pandangan dalam kalangan pimpinan PH, pihak Media PH mengalu-alukan cadangan balas reka bentuk logo PH daripada pihak yang berminat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan yang sama, peserta yang berminat perlu mengikut garis panduan seperti penggunaan dua warna dan simbol yang mudah difahami rakyat.

Menurut kenyataan itu, logo perlu mempunyai rasional berteraskan konsep-konsep ‘harapan’, ‘demokrasi’, ‘keadilan’, ‘integriti’ dan ‘perpaduan’.- MalaysiaGazette