Abdul Razak Md Hassan bercakap pada sidang media mengenai implikasi Perjanjian Akses Rangkaian Keretapi di bangunan Tong Nam, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) memberi kata dua agar Rangkaian Akses Rangkaian Keretapi (Railway Network Access Agreement – RNAA) melalui Perbadanan Aset Keretapi (RAC) perlu dibatalkan terlebih dahulu sebelum diadakan satu bengkel.

Presiden RUM, Abdul Razak Md. Hassan berkata, bengkel yang dicadangkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi bertujuan mencari resolusi penilaian semula perjanjian itu akan dianjurkan pada Ogos ini.

Beliau menegaskan, RUM tidak akan menghadiri bengkel itu sekiranya perjanjian itu tidak dibatalkan.

“RUM mahu jaminan dan keselamatan terlebih dahulu agar batal dahulu RNAA sebelum bengkel diadakan.

“RUM takut bengkel ini sekadar wayang untuk mengendurkan isu yang terjadi sejak tahun lalu.

“Apa pun RUM menghormati cadangan Menteri ke atas cadangan bengkel itu hasil pertemuan dengan beliau semalam.

“Namun hasil mesyuarat Jawatankuasa Kerja pagi ini, RUM mahu RNAA dibatalkan dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media RUM bagi memaklumkan hasil pertemuan dengan Tiong Lai semalam.

Abdul Razak menegaskan, isu RNAA boleh diselesai tanpa berlarutan panjang jika Tiong Lai lebih awal bertemu dengan RUM pada tahun lalu.

Jelasnya, RUM telah menghantar lima surat jemputan untuk bertemu beliau sejak Mei tahun lalu.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, Datuk Abdul Razak Md Hassan (tiga kiri) bersama ahli-ahli lain menunjukkan implikasi 'Railway Network Access Agreement' (RNAA) dan kenyataan akhbar di bangunan Tong Nam, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2017
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, Datuk Abdul Razak Md Hassan (tiga kiri) bersama ahli-ahli lain menunjukkan implikasi ‘Railway Network Access Agreement’ (RNAA) dan kenyataan akhbar di bangunan Tong Nam, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2017

“Menteri kata beliau tidak terima surat itu dan kata salah Setiausahanya.

“Beliau ada luah rasa terkilan dengan RUM yang selama ini menyerang beliau termasuk ingin membuat demontrasi bantahan RNAA hingga ke kawasan Parlimennya di Bentong jika tidak bertemu RUM sebelum ini.

“Namun RUM tetap dengan keputusan 10 resolusi yang telah diluluskan sebelum ini oleh 10 cawangan RUM sekiranya RNAA tidak dibatalkan,” katanya.

Isu RNAA menjadi kontroversi kerana perjanjian itu akan memberi hak kepada kerajaan untuk campur tangan dalam operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) termasuk menggunakan khidmat luar jabatan dan mewujudkan pelbagai pengendali atau menggunakan landasan dengan memberi lesen atau hak kepada syarikat swasta menjalankan kargo.

KTMB diswastakan sejak 1992 namun ia masih dimiliki sepenuhnya kerajaan persekutuan.

Sejak lebih setahun lalu, RUM agresif melakukan bantahan dan desakan mengenai isu RNAA dan RAC yang disifatkan mempunyai kepentingan peribadi dan memberi keburukan kepada kakitangan KTMB.

Perjanjian di antara RAC dan KTMB akan merugikan pekerja malah sejarah KTMB sejak 69 tahun lalu juga akan terkubur.

Selain itu, jika perjanjian RNAA dimeterai, 4,000 kakitangan KTMB di pelbagai peringkat akan kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan. Ia ekoran proses penstrukturan semula dijalankan. – MalaysiaGazette