Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penangkapan seorang lagi rakyat Turki yang didakwa mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara berkata, suspek ketiga terbabit yang sedang dalam perbicaraan kerana dakwaan menyerang seorang pegawai imigresen, ditahan semalam di sebuah stesen minyak di Chenor, Pahang.

Katanya, tangkapan ke atas lelaki berusia 40-an itu adalah bagi mengumpul maklumat sebelum polis bertindak ke atas ketiga-tiga mereka.

Beliau berkata, lebih banyak tangkapan mungkin akan dibuat, namun beliau tidak mengulas lanjut.

“Tak payah lah saya sebut, nanti (mereka) lari,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Bukit Aman di sini hari ini.

Khalid berkata, ketiga-tiga mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Bagaimanapun, beliau enggan menhurai sama ada mereka mempunyai kaitan dengan IS.

Dalam pada itu Khalid juga menolak tanggapan bahawa ketiga-tiga yang ditahan atas permintaan kerajaan Turki.

“Malaysia mempunyai hak untuk mengambil tindakan untuk menjaga keselamatannya.

“Dia dah mula terlibat, pasal tu kita ambil tindakan” katanya.

Pada Rabu lalu, Khalid mengesahkan dua lelaki Turki yang pada mulanya dikhuatiri diculik sebenarnya ditahan di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut memberikan reaksi berkata, kedua-dua mereka sedang disiasat berhubung kaitan dengan Kumpulan Negara Islam (IS). – MalaysiaGazette