Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Penerbitan buku agama dan dakwah yang dilaksanakan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dilihat mampu melahirkan budaya baharu iaitu iqra’ dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usaha itu perlu dipuji dan disokong oleh semua pihak dalam menyebarluaskan misi dakwah melalui karya-karya bermutu tinggi.

“Usaha Yadim dilihat mampu memberikan satu kefahaman jelas dan juga makrifah masyarakat dalam menerangi Islam.

“Ia diharap dapat membangkitkan semangat untuk melahirkan satu budaya hijrah dalam kalangan masyarakat Malaysia dan umat Islam itu sendiri,” katanya ketika berucap pada malis pelancaran empat buku terbitan Yadim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Di Petua Yadim, Dr Yusri Mohamad.

Salah sebuah buku tersebut ditulis sendiri oleh Dr Zulkifli bertajuk Solat itu Mudah.

Manakala tiga lagi buku bertajuk Al-Rahiq Al-Makhtum: Sirah Nabawiyyah, Contemporary Ijtihad: An Analysis of Individual and Collective Approaches dan Buku Sumber Rujukan Guru: Pendidikan Islam Sekolah.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, usaha Yadim perlu disokong semua pihak dalam usaha untuk mencelikkan umat Islam di negara ini melalui budaya membaca.

“Semua usaha Yadim ini untuk memandaikan umat melalui medium penulisan dan penerbitan dakwah yang tak mungkin dapat dikesampingkan lagi khususnya pada zaman kita ini.

“Satu-satunya cara untuk membina jati diri dan membentuk identiti muslim sejati dengan ilmu menyemarakkan budaya membaca ini,” katanya. – MalaysiaGazette